Saturday, December 5, 2009

...hubungan kegiatan harian dengan solat...

Jom Kongsi

Satu ucapan yang ada dalam doa Iftitah ialah kalimah yang bermaksud: “Aku hadapkan wajahku untuk Tuhan yang menjadikan langit dan bumi”. Apakah yang dimaksudkan dengan menghadapkan wajah kepada Tuhan? Adakah wajah pada tubuh manusia yang hendak dihadapkan kepada Tuhan?Pada zahirnya wajah orang yang mendirikan solat itu dituntut supaya dihadapkan kea rah qiblat, ia mesti dipatuhi sebagai melaksanakan kehendak agama. Tetapi bukanlah wajah tubuh seseorang itu yang hendak dihadapkan kepada Allah S.W.T kerana wajah yang lahir hanya dihadapkan kea rah kiblat saja, sedangkan Allah SWT itu Maha Suci dan dilingkungi segala arah sehingga membolehkan seseorang menghadapkan wajah tubuhnya ke arah Allah SWT.
Walaupun kalimah itu menggambarkan berdepan antara wajah orang yang sedang mendirikan solat dengan wajah Tuhan, namun yang dimaksudkan wajah di sini ialah wajah hati. Apabila seseorang itu mengaku menghadapkan wajahnya bersetentang dengan wajah Tuhan, maka ia beerti bahawa seluruh hati dan ingatannya ketika itu tertumpu kepada Allah SWT semata-mata dan bukan mengingat yang lain.Apabila seseorang itu mengaku bahawa ia menghadapkan wajah hatinya kepada Tuhan, namun persoalannya apakah benar-benar ketika itu ia menghadapkan wajah hatinya kepada Tuhan? Atau mungkinkah pada ketika yang sama ingatannya dan wajah hatinya sedang menghadap kepada urusan peribadinya, seperti pekerjaannya, perniagaannya, rumahtangganya dan lain-lain.
Semasa mengangkat Takbiratul Ihram, ada permasalahan di mana hanya lidahnya saja menyebut ‘Allahu Akbar’, sedangkan hati dan ingatannya masih membesarkan perkara yang lain. Perbuatan itu menjadikan mereka telah mensyirikkan Allah SWT pada pembukaan solatnya. Meskipun tujuan asalnya hendak menyembah Allah SWT, namun mereka telah memulakan solat dengan dosa besar.Jadi, apakah ketika membuat pengakuan dan berjanji dengan Allah SWT dalam doa Iftitah juga berlaku pendustaan terhadap Allah SWT? Apabila lidah mengaku menghadap wajah Tuhan tetapi kesedaran hati dan fikiran merayau ke arah yang lain menurut kemahuan nafsu kebendaan dan kemahuan peribadi yang lain maka jelaslah bahawa perbuatan itu bukan saja bertentangan dengan ikrar, sebaliknya hanyalah suatu pendustaan yang nyata terhadap Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More