Sunday, April 18, 2010

.:Bersemuka Dan Bersoal Jawab Dengan Allah:.

Jom Kongsi

KETIKA seseorang itu berdiri (qiam) di dalam solatnya, adalah beerti dia berdiri di hadapan Allah SWT, dengan rendah diri dan hina, serta bebas daripada sombong dan takabbur. Ketika itu hendaklah dibayangkan seolah-olah ia baru dibangkitkan dari kubur dan sedang bersoal-jawab dengan Allah SWT. Dalam keadaan demikian, seseorang itu sedar bahawa ia sedang berdiri di depan Tuhannya dan Allah SWT pula Maha Mengetahui kedudukan seorang hamba yang sedang berdepan dengan-Nya. Jika seseorang itu berdiri di depan seorang raja, pasti dia merasai suatu kelainan dalam hatinya. Betapa pula apabila dia berdiri di depan Raja bagi sekalian raja-raja iaitu Allah SWT, pasti merasa lemah atau tidak terdaya oleh kebesaran Allah SWT. Demikianlah Imam al-Ghazali menjelaskan dalam kitabnya.
Apabila manusia terdengar laungan azan setiap kali datangnya solat fardhu, maka demikianlah gambaran ketika malaikat Israfil meniup serunai 'sangkakala'di hari qiamat kelak. Ketika itu semua manusia yang berada di dalam kubur bangkit dan berduyun-duyun menggerakkan kaki menuju ke hadrat Allah SWT. Apabila seseorang itu keluar dari rumahnya melangkah kaki menuju ke masjid setelah mendengar seruan azan, bayangkan pula ketika manusia diperintahkan keluar dari kubur masing-masing setelah mendengar tiupan sangkakala untuk menghadap Allah SWT,dalam keadaan letih tidak bermaya.Sudah pasti melangkah kaki menuju ke masjid lebih mudah dari melangkah kaki di Padang Mahsyar.
Jika sewaktu mendengar azan, ramai orang yang malas untuk bangun menyahut seruan itu bagi menunaikan solat fardhu berjemaah di masjid, maka demikian juga keadaan manusia ramai yang baru dibangkitkan dari kubur dengan lemah, namun merekqa terpaksa melangkah juga setelah mendengar tiupan sangkakala sekalipun dengan keadaan malas untuk bergerak. Apabila kita membayangkan sebanyak lima kali dalam sehari mendengar seruan azan yang menyeru untuk menghadap Allah SWT, seolah-olah manusia sedang mendengar tiupan serunai sangkakala oleh malaikat Israfil itu,sudah tentu akan lahir rasa gerun bagaimana dahsyatnya hari Mahsyar itu.
Setiap kali mendengar seruan azan, jika dapat dibayangkan seolah-olah seruan azan itu umpama tiupan sangkakala maka sudah tentu seseorang itu akan merasa gerun. Dengan itu mereka akan merasa takut untuk melakukan perbuatan keji dan mungkar, sebaliknya berusaha melakukan perbuatan yang baik. Islam mengajar antara syarat sah solat mestilah suci dari segala najis kekotoran dan juga daripada segala hadas. Jika semua itu disedari oleh seseorang ketika ia hendak melakukan solat, maka tidak mungkin mereka tidak teringat mengenai kesucian hati dan kebersihannya daripada segala keji dan mungkar. Sedangkan itu adalah pusat segala tumpuan seseorang untuk berdepan dengan Allah SWT dalam solat.
Sekiranya pakaian kita ketika solat bersih dan suci dari segalan kekotoran sedangkan hati pula kotor, bergelumang dengan segala najis batin,maka nyatalah bahawa seseorang itu lalai dari mengingati Allah SWT.Oleh itu apabila seseorang sedang berwuduk membasuh semua anggota wuduknya, maka jangan lupa bahawa hati juga perlu dibasuh Cuma cara basuh hati berbeza, kerana ia hendaklah dibasuh dengan berbanyak-banyak taubat.Seruan untuk menunaikan solat fardhu itu adalah satu urusan yang besar, kerana jika kita bayangkan bagaimana seorang askar ketika dipanggil oleh pegawai atasannya,maka kita dapati dia tidak berlengah-lengah datang dengan segera. Dia melangkah pantas dan berdiri tegak serta cukup bersedia untuk menerima arahan berikutnya. Ataupun apabila seorang dipanggil oleh raja yang memerintah,pasti dia akan datang mengadap kembali dan berdiri dengan segala adab sopan di depan raja agar raja tidak murka.
Betapa pula seorang yang penuh kesedaran bahawa dia sedang berdiri berdepan dengan Allah SWT dalam satu ibadah solat yang mesti dilengkapi dengan syarat dan rukun yang diwajibkan, tentu mereka akan merasa betapa mustahaknya dia menjaga segala adab dan peraturan iaitu sifat khusyuk dan seumpamanya. Malah dia juga wajib merasa hinanya diri apabila berdepan dengan Allah SWT, sedangkan dirinya adalah zat yang maha hina sedang berdepan dengan Allah SWT yang Maha Mulia dan Maha Agung.
Ketika itu tentulah terasa betapa tidak terdayanya seseorang itu sebagai seorang hamba yang lemah.Sekiranya seseorang dapat merasai demikian itu, ia pasti tidak terdaya untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT. Sebaliknya jika seseorang itu mengerjakan solat, dalam masa yang sama masih melakukan perbuatan keji dan mungkar. Hal ini beerti dia tidak merendah diri dan tidak merasa gerun kepada Allah SWT. Mereka yang tidak merasai bahawa dirinya sedang berdepan dengan Allah SWT. Justeru, seolah-olah perbuatan kejinya itu tiada siapa yang menyaksikannya. Dalam keadaan demikian ia akan melakukan apa yang diingini untuk mengikut segala apa yang didorong oleh hatinya yang kotor itu.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More