Thursday, October 7, 2010

.:umar abdul aziz:.

Jom Kongsi

Umar Abdul Aziz adalah khalifah yang adil sehingga diberi gelaran khulafa’ al-Rasyidin yang kelima. Nama penuhnya ialah Abu Hafs, Umar ibnu Abd al-Aziz ibnu Marwan ibnu al-Hakam al-Umawiy al-Qurashiy. Nama ibunya ialah Laila binti Asim bin Umar bin Al-Khatab. Dia ialah seorang daripada khalifah kerajaan Bani Umayyah di Syam. Moyang sebelah ibunya ialah Umar ibnu al-Khattab. Umar Abd Aziz lahir di Madinah al-Munawwarah.

Semasa bapanya dilantik sebagai pemerintah di Mesir, dia turut dibawa bersama dan menghafaz al-Quran di sana. Kemudian bapanya telah menghantarnya ke Madinah semula untuk mempelajari ilmu agama dan mendalami ilmu sastera. Beliau merupakan seorang yang celik ilmu dan juga mempunyai akal fikiran yang cerdas. Umar bin Abdul Aziz menghafaz Al-Quran dan menuntut ilmu sejak beliau masih kecil. Beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mendalami sebanyak mungkin ilmu khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama Islam.

Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir. Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri khalifah, Fatimah binti Abdul Malik iaitu sepupunya sendiri.

Jika kita mencelikkan sedikit minda kita untuk berfikir dengan lebih jauh, individu yang bersifat seperti Khalifah Umar Abdul Aziz adalah sukar untuk dicari pada zaman sekarang. Kebanyakkan individu sekarang lebih suka menumpukan hanya kepada satu bidang ilmu kerana bagi mereka adalah agak sukar untuk mempelajari pelbagai bidang ilmu sepanjang berjalan di bumi Allah ini. Di samping itu, jika diperhatikan, pelajar dan guru sekarang telah menjadi tunggang terbalik. Jika pada masa dahulu pelajar berusaha mencari guru dan menunggu guru jika guru terlewat. Tetapi sekarang guru yang mencari pelajar dan guru jugalah yang menunggu ketibaan pelajar di dalam kelas.

Perkara yang lebih teruk lagi ialah pelajar sekarang kurang berminat untuk menuntut ilmu malah bergiat aktif dalam gejala yang tidak sihat seperti hisap rokok, samun, peras ugut dan juga buli.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More